MARANG: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketiadaan pembangkang di negeri ini susulan keputusan Pilihan Rayan Negeri (PRN) semalam perlu dilihat dari aspek positif.
Menurutnya, backbencher yang akan diwujudkan bukan sekadar sahaja menyokong kerajaan bahkan memberi teguran.
“Saya rasa kita kena lihat dalam aspek yang positif dan tentunya kerajaan akan mewujudkan backbencher yang bukan sekadar menyokong kerajaan bahkan juga secara tersusun bab mengkritik dan memberi teguran dan memberi cadangan kepada kerajaan seperti pembangkang jugalah tetapi berperanan yang lebih positif,” ujarnya kepada media di Rusila, malam tadi.
Tambahnya, perkara itu akan dirangka oleh pihak kerajaan bagaimana untuk menjadikan backbencher berperanan sedemikian.
“Jadi saya rasa tidak ada masalah,” katanya yang berjaya mempertahankan kerusi Dun Ru Rendang dengan majoriti 17,286 undi.
Mengenai kemenangan 32 kerusi pada PRN semalam, beliau berkata semua faktor menyumbang kepada kemenangan yang besar itu.
Menurut beliau, antaranya ialah apabila rakyat melihat kegagalan dan kelemahan kerajaan PH-BN di peringkat pusat dalam banyak perkara.
Dr Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menambah, perkara itu tidak memerlukan ulasan politik kerana rakyat sekarang boleh menilai sendiri.
“Zaman yang ada sekarang ini bukan zaman 15 tahun dulu. Zaman sekarang ini rakyat lebih celik dan juga dengan kewujudan media sosial yang banyak membantu kefahaman masyarakat,” jelasnya.
Faktor kedua, ujarnya kewujudan pengundi secara automatik iaitu pengundi 18 tahun yang sangat menyumbang kepada kemenangan itu.
“Walaupun kita lihat mungkin kelompok pengundi 18 tahun adalah kelompok yang innoncent, kurang maklumat tetapi kena dilihat dalam konteks zaman sekarang ini,” katanya lagi.
Menurutnya, maklumat ada di tangan mereka juga sebagaimana orang lain.
Justeru, tambahnya kelompok itu yang menjadi pengundi harus dilayan sebagaimana orang dewasa yang boleh membuat keputusan politik.
“Jadi kami rasa dari segi itu PAS bersama PN dan rakan-rakan dalam PERIKATAN NASIONAL, kami berjaya mengurus pengundi baru khususnya pengundi muda ini,” tambahnya.
Beliau turut ditanya mengenai jumlah peratusan keluar mengundi di negeri ini yang tertinggi berbanding lima negeri lain pada PRN kali ini.
“Pengundi yang paling tinggi tu juga disumbangkan pelbagai faktor antaranya ialah seruan daripada pimpinan supaya balik dan sebagainya, berkali-kali dan menyusun gerak kerja secara tersusun bagaimana untuk mendekati pengundi yang berada di luar yang bukan kerja satu hari tetapi bekerja bertahun-tahun.
“Jadi inilah bezanya apa kita buat. Saya rasa mungkin dalam masa sehari dua ini semua akan lihat bahawa jentera pas akan kembali turun, buat kerja balik untuk menghadap pilihan raya yang akan datang lima tahun lagi,” ujarnya.
Beliau berkata, proses yang berterusan itulah yang merapatkan antara saf kepimpinan negeri Terengganu dengan pengundi-pengundi yang berada di luar.
Sumber: Harakahdaily
Comentários