top of page
Search
  • Writer's pictureAdmin

Penerimaan rakyat terhadap PERIKATAN NASIONAL luar biasa


ALOR SETAR: Pengalaman dilalui bersama rakan-rakan parti komponen PERIKATAN NASIONAL (PN) dilihat mampu memberi kelebihan kepada gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, 19 November ini.


Pengerusi PN Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun PN pertama kali menyertai PRU, namun PAS dianggap sebagai ‘otai’ kerana melalui banyak pengalaman pilihan raya.


Katanya, begitu juga rakan-rakan komponen lain ada pengalaman menghadapi PRU sebelum ini.

“Malah PN lebih stabil berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), dan ini memberi kelebihan kepada PN,” katanya ketika dihubungi di sini.


Dalam masa yang sama, beliau turut bersyukur kerana proses penamaan calon PN di semua 15 parlimen di Kedah berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan di setiap tempat.


Semalam, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat mengiringi calon PN Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.


Perarakan calon bermula dengan solat hajat di Pondok Tuan Guru Haji Salleh, Pekan Sik sebelum berarak ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah, Sik.


Menurutnya juga penerimaan rakyat terhadap PN agak luar biasa dan mengejutkan biar pun BN dan PH memberi saingan sengit di beberapa parlimen.


“Pengundi tegar tidak berubah dan akan menjadi faktor kemenangan, sementara pengundi kali pertama dan pengundi atas pagar akan membantu calon membuat kejutan,” tambah beliau.


Sementara beliau tidak menolak apabila berlaku pertandingan lebih tiga penjuru akan memberi kesan kepada jumlah pengundian.


“Secara dasar pertandingan dua penjuru yang terbaik bagi PN dan BN. Parti-parti lain akan beri kesan berdasar asal usul parti tersebut,” katanya.


Bagaimanapun baginya dalam apa juga keadaan PN dilihat mempunyai peluang lebih cerah.


Parlimen Sik menyaksikan penyandang Ahmad Tarmizi dicabar Maizatulakmam Othman (BN) dan Datuk Latipah Md Yatim (PH). Pada PRU14 beliau menang dengan majoriti 5,218 undi


Sumber - Harakahdaily

678 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page