top of page
Search
  • Writer's pictureAdmin

Mood rakyat amat positif kepada PERIKATAN NASIONAL


KUALA LUMPUR: “Saya dapat rasakan mood rakyat pada masa ini amat positif kepada kita, insya-Allah,” kata Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua jentera PERIKATAN NASIONAL supaya bekerja keras untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.


Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut memetik hadis riwayat Ibn Hibban yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain”.


Katanya, pesanan Rasulullah SAW seperti yang terkandung di dalam hadis itu beliau tujukan kepada semua calon PERIKATAN NASIONAL sempena kempen rasmi PRU15.


“Sebagai calon pilihan raya, anda sedang memikul amanah yang berat. Ini kerana apabila anda terpilih sebagai wakil rakyat, anda akan mengabdikan diri kepada rakyat dan negara.


“Anda akan bekerja saban hari bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi demi manfaat orang lain,” ujarnya.

Jadi, kata beliau seperti maksud hadis di atas, bekerja keraslah untuk manfaat orang lain.

“Bukan perihal diri kita. Ingatlah perjuangan kita ini demi manfaat rakyat dan negara,” katanya lagi.


Beliau menambah, perjalanan pengabdian kepada rakyat bermula sekarang.

Katanya, temui rakyat dan santuni mereka di mana-mana sahaja.


“Fahami masalah mereka, keperluan mereka dan cari jalan yang terbaik untuk membantu sedaya upaya,” ujarnya yang juga Presiden Bersatu.


Jelasnya, tekad untuk bekerja demi manfaat rakyat juga yang beliau pegang ketika berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap rakyat terselamat ketika wabak Covid-19 melanda.


“Kita lakukan apa sahaja yang boleh pada ketika itu untuk melindungi nyawa rakyat dan memastikan setiap orang mempunyai makanan di atas meja.


“Perjuangan membantu rakyat ini masih belum selesai. Ramai yang masih memerlukan bantuan kita di luar sana.

“Insya-Allah, perjuangan murni ini akan kita sambung setelah PERIKATAN NASIONAL beroleh kemenangan dan membentuk kerajaan,” tambahnya.


Muhyiddin juga menyeru semua jentera PERIKATAN NASIONAL supaya berkempen dengan cara yang berhemah, mematuhi undang-undang pilihan raya dan mengelakkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.


“Selamat maju jaya kepada semua calon dan jentera PERIKATAN NASIONAL,” katanya lagi.

Pada PRU15 ini, beliau yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pagoh berdepan dengan calon BN, Datuk Seri Razali Ibrahim dan Iskandar Shah (PH).


Sumber Harakahdaily

498 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page