top of page
Search
Writer's pictureAdmin

KEPIMPINAN MELAYU ISLAM MEMBAWA PERPADUAN DAN KEAMANAN [Minda Presiden PAS]


Semua ideologi sama ada yang berhaluan kiri mahupun kanan, termasuklah kelompok pragmatisme yang terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan laksana lalang yang ditiup angin. Hal ini disebabkan mereka itu berprinsipkan materialisme semata-mata yang sangat rapuh dengan mengalami kegagalan yang bersiri.


Demikianlah prinsip tanpa aqidah yang mengawal kemanusiaan yang sempurna berfitrahkan jasad, roh, dan akal serta bernafsu dan bermasyarakat. Justeru, manusia memerlukan iman, ilmu yang bermanfaat, berakal sihat, dan berakhlak mulia, namun semua perkara ini tidak dipenuhi oleh semua ideologi tersebut.


Allah Rabb al-‘Alamin (Pencipta alam dan Pentadbirnya) menetapkan peta jalan (road map) pemerintahan yang mampu menangani urusan kemanusiaan mengikut fitrahnya dan mengendalikan masyarakat majmuk daripada pelbagai bangsa dan agama yang dipimpin oleh bangsa yang menganut Islam. Firman Allah SWT:


﴿ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾


“(Mereka itu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka (Makkah) tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain (menentang Islam), tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Mereka itu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40–41]


Islam berteraskan beberapa perkara yang menjadikan Islam mampu menghadapi masyarakat manusia ciptaan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.


Pertama: Berprinsipkan Rabbuna Allah ربنا الله)), kepercayaan kepada Allah sebagai Pencipta dan Pentadbir alam termasuk makhluk manusia. Malah, Allah SWT juga menetapkan petunjuk yang memenuhi segala keperluan fitrah manusia sehinggakan semua amalannya kelak akan dihisab mengikut perhitungan dosa dan pahala dalam semua urusan, termasuk urusan politik mentadbir negara.


Kedua: Pemimpin yang sentiasa berhubung dengan Allah. Moralnya bukan sahaja dikawal oleh undang-undang ciptaan manusia yang banyak kelemahannya dan sekadar urusan dunia, malah turut dikawal oleh syariat Allah yang sempurna dan tindakannya berpanjangan hingga selepas meninggal dunia.


Ketiga: Berkonsepkan tiada paksaan dalam beragama dan berbangsa walaupun Islam berkuasa sepenuhnya. Bahkan, Islam mengizinkan pelbagai bangsa dan penganut daripada pelbagai agama bernaung di bawah konsep adil kepada semua yang menjadi amanah setiap manusia itu diciptakan. Firman Allah SWT:


﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨﴾


“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]


Keempat: Konsep ekonomi yang adil tanpa menyekat hak pemilikan seperti konsep sosialisme dan memberikan hak milik yang mewajibkan tanggungjawab bermasyarakat, tidak seperti liberal kapitalisme yang memperkecil kewajipan menegakkan keadilan sosial. Pada masa yang sama, konsep ekonomi Islam juga tidak hanyut seperti pragmatisme yang semua ideologi tersebut berprinsipkan materialisme tanpa roh dan iman.


Kelima: Berkebajikan dengan takrif yang luas dalam hubungan dengan Allah Pencipta alam, manusia, dan makhluk yang lain, bukan sekadar kebajikan sesama masyarakat manusia sahaja.


Keenam: Kehebatan undang-undang mencegah kemungkaran melalui proses mendidik yang mendahului proses hukuman. Walaupun seseorang pesalah itu terlepas daripada tindakan undang-undang dunia, pasti tidak akan terlepas pada Hari Akhirat kelak.


Rasulullah SAW mengambil langkah perjuangan menegakkan negara bagi menegakkan kuasa Islam yang berdaulat (memerintah), dengan melakukan hijrah setelah ditolak tawaran untuk berkuasa tanpa Islam oleh para pemimpin Makkah.


Langkah pertamanya ialah menyatukan penganut Islam dalam kalangan bangsa Arab dengan ikatan iman. Firman Allah SWT:


﴿إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ١٠﴾


“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh sebab itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu, dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat.” [Surah al-Hujurat: 10]


Kemudian, penyatuan itu disertai oleh pelbagai bangsa yang menganut Islam.


Islam menyatukan manusia berkonsepkan kemanusiaan bermasyarakat majmuk. Firman Allah SWT:


﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾


“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]


Telah dimeteraikan Sahifah al-Madinah (Piagam Madinah) yang terkenal, suatu asas yang menegaskan Islam berada pada kedudukan paling tinggi bagi mentadbir dan menyelesaikan semua masalah umat yang bernegara.


Allah SWT mewahyukan al-Quran yang sempurna dan Rasulullah SAW melaksanakannya dengan berpandukan petunjuk dan kebijaksanaan luar biasa dengan sifat kerasulannya yang dikawal oleh Allah secara langsung. Allah memerintahkan supaya mereka yang beriman melaksanakannya dengan sempurna. Firman Allah SWT:


﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ٢٠٨ فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡكُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ٢٠٩ هَلۡ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن يَأۡتِيَهُمُ ٱللَّهُ فِي ظُلَلٖ مِّنَ ٱلۡغَمَامِ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ وَقُضِيَ ٱلۡأَمۡرُۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرۡجَعُ ٱلۡأُمُورُ٢١٠﴾


“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (208) Akan tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (209) Tiada yang mereka nanti-nantikan melainkan datangnya Allah dan malaikat (pada Hari Kiamat) dalam naungan awan, dan diputuskanlah perkaranya. Dan hanya kepada Allah dikembalikan segala urusan. (210)” [Surah al-Baqarah: 208–210]


Selepas kewafatan Rasulullah SAW, dipilih para pemimpin yang berkemampuan secara silih berganti menyambung tugas, termasuk pertukaran bangsa yang menganut Islam bagi memimpin umat. Firman Allah SWT:


﴿هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾


“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil, sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]


Sejarah keemasan Islam menyaksikan berlakunya pertukaran pelbagai bangsa paling berpengaruh yang menganutnya, sehingga Islam berjaya memerintah negara selama lebih daripada 14 abad (1,300 tahun).


Perpaduan umat Islam itu terdiri daripada berbagai-bagai bangsa yang kukuh dan pemerintahan yang silih berganti bangsa pemimpinnya, disertai oleh semua bangsa yang menganut Islam. Penerimaan orang bukan Islam juga lebih reda bersama kerajaan Islam kerana keadilannya, sehingga Islam mencipta tamadun yang bersumberkan ilmu wahyu sebagai petunjuk dan ilmu yang bermanfaat daripada pelbagai bangsa dalam negara Islam.


Kehilangan kuasa umat Islam terjadi apabila mereka meninggalkan perjuangan untuk mempertahankannya. Firman Allah SWT:


﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْـًٔا ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾


“Wahai orang-orang yang beriman Apakah sebabnya apabila dikatakan kepadamu, ‘Berangkatlah (untuk berjuang) di jalan Allah,’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38) Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberikan sebarang kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” [Surah al-Tawbah: 38–39]


Apabila kewajipan tidak lagi dilaksanakan, umat Islam diseksa dengan penjajahan musuh Islam daripada pelbagai agama dan ideologi. Namun, Islam tetap dipelihara Allah dan adanya kumpulan yang kembali berjuang bagi menegakkannya. Firman Allah SWT:


﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ٥٦﴾


“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa antara kamu yang menyeleweng daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, wali kamu (penolong kamu) hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya, kumpulan pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54–56]


Firman Allah SWT:


﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾


“Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang berjaya (dunia dan akhirat).” [Surah Ali ‘Imran: 104]


Apabila umat Islam mengalami zaman kejatuhannya, Rasulullah SAW bersabda:


‌تَلْزَمُ ‌جَمَاعَةَ ‌الْمُسْلِمِينَ ‌وَإِمَامَهُمْ.


“Hendaklah kamu bersama kumpulan umat Islam dan pemimpin mereka.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, No. 7084 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1847]


Allah SWT menyebutkan dalam firman-Nya di atas sifat-sifat dan ciri-ciri kumpulan Islam yang menyambung perjuangan membawa Islam:


1. Melaksanakan Islam yang sempurna, bukan Islam yang sekular (memisahkan politik daripada Islam).

2. Berjihad untuk menegakkan Islam, bukannya menonjolkan diri.

3. Menegakkan kuasa amar ma‘ruf dan nahi munkar.


Menegakkan Islam itu tidak dibolehkan dengan berlakon, berlagak, dan berpura-pura kerana firman Allah SWT:


﴿أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُمۖ مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٞ٢١٤﴾


“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga secara percuma, padahal belum datang kepada kamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan (dizalimi), serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” [Surah al-Baqarah: 214]


Firman Allah SWT:


﴿الٓمٓ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ٣﴾


“Alif lam mim. (1) Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedang mereka belum diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka, sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya, Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1–3]


Firman Allah SWT:


﴿لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ٤٢﴾


“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, ‘Jikalau kami sanggup, tentulah kami berangkat bersama-samamu.’ Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya, mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.” [Surah al-Tawbah: 42]


Percayalah bahawa sesiapa yang berpura-pura atau berlakon kononnya cuba menegakkan Islam, mereka itu pasti akan melompat keluar dan tersungkur di pertengahan perjalanan hidupnya.


Allah SWT mendedahkan amalan mereka yang berpura-pura bersama Islam dengan firman-Nya:


﴿وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مَسۡجِدٗا ضِرَارٗا وَكُفۡرٗا وَتَفۡرِيقَۢا بَيۡنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَإِرۡصَادٗا لِّمَنۡ حَارَبَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ مِن قَبۡلُۚ وَلَيَحۡلِفُنَّ إِنۡ أَرَدۡنَآ إِلَّا ٱلۡحُسۡنَىٰۖ وَٱللَّهُ يَشۡهَدُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ١٠٧﴾


“Dan (antara orang-orang munafiq itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (kepada orang-orang Mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecahbelahkan antara orang-orang Mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah, ‘Kami tidak menghendaki selain kebaikan.’ Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya, mereka itu adalah pendusta (dalam sumpah mereka).” [Surah al-Tawbah: 107]


Mereka bukan sahaja menggunakan perkataan bahasa Arab dengan tujuan yang salah dan melakukan berbagai-bagai gerak lakonan, bahkan membina masjid sebagai lambang ibadat bagi menggoda dan mengelirukan umat Islam.


Kepada mereka yang setia dan ikhlas dalam menegakkan Islam, Allah SWT berfirman:


﴿فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ١١٣ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفٗا مِّنَ ٱلَّيۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ١١٤ وَٱصۡبِرۡ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ١١٥﴾


“Maka, tetaplah kamu berada di jalan yang benar, sebagaimana yang telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api Neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113) Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua-dua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya, perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat. (114) Dan bersabarlah, kerana sesungguhnya, Allah tiada mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan. (115)” [Surah Hud: 112–115]


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS


Bertarikh: 23 Muharram 1445 / 10 Ogos 2023


[Bil: 64 / 2023]

241 views0 comments

Comentários

Não foi possível carregar comentários
Parece que houve um problema técnico. Tente reconectar ou atualizar a página.
bottom of page